SWM Environment Pergiat Promosi Program Kitarecyle
Melaka Hari Ini – 25 AUGUST 2020
ALOR GAJAH 25 Ogos – SWM Environment Sdn. Bhd. (SWM Environment) terus mempergiatkan jelajah memperkenalkan program KITARecycle dalam usaha menggalakkan masyarakat mempertingkatkan amalan kitar semula di kediaman masing-masing.
Kali ini, kaunter pameran dan pendaftaran KITARecycle dibuka di Freeport A’ Famosa Outlet, Alor Gajah bersempena kempen Let’s Do It Right dengan kerjasama Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Melaka pada Ahad (23 Ogos 2020).
Pengurus Besar Korporat SWM Environment, Mohd Norlisam Mohd Nordin berkata, melalui program KITARecycle ini, aktiviti kitar semula menjadi lebih menarik dengan pemberian mata ganjaran yang boleh ditebus kepada tunai melalui perbankan dalam talian.
Katanya, dalam masa yang sama, program itu bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai pembudayaan 3R iaitu ‘Reduce, Reuse, Recycle’.
“Sudah tiba masanya kita menjadikan Pengasingan Sisa Di Punca serta kitar semula sebagai amalan dalam kehidupan seharian.
“KITARecycle turut bertujuan untuk mewujudkan komuniti yang prihatin terhadap alam sekitar serta dapat menguruskan sisa yang dijana dengan baik serta berhemah.
“Ahli KITARecycle yang berdaftar akan diberikan mata ganjaran bagi pengumpulan 25 jenis barangan kitar semula seperti kertas, tin aluminium, plastik serta sisa elektrik dan elektronik,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Menurutnya, pendaftaran KITARecycle amat mudah dan boleh diakses melalui laman web www.kitarecycle.com ataupun melalui aplikasi untuk pengguna telefon pintar Android.
Jelasnya, sebaik sahaja mendaftar, pengguna akan memiliki kod QR unik tersendiri yang mengandungi nombor pendaftaran ahli yang perlu dicetak atau ditulis untuk ditampal pada bungkusan yang mengandungi barangan kitar semula.
“Barangan kitar semula tersebut boleh dihantar ke pusat pengumpulan KITARecycle seperti cawangan utama SWM Environment dalam setiap negeri, sangkar awam KITARecycle di tempat yang tertumpu, atau melalui perkhidmatan Kutipan +1 yang merangkumi kutipan barangan kitar semula sebanyak sekali seminggu di kawasan kediaman masing-masing.
“Pihak SWM Environment akan melakukan timbangan dan merekod data sisa kitar semula untuk tujuan pemberian mata ganjaran. Pengguna boleh menyemak nilai mata ganjaran dan menebusnya secara tunai dengan menggunakan aplikasi KITARecycle atau di laman web www.kitarecycle.com,” katanya.
Ujarnya, program itu semakin mendapat sambutan dari pelbagai lapisan masyarakat selepas dua tahun ia dilancarkan.
“Selain pendaftaran KITARecycle, SWM Environment juga aktif mengadakan taklimat kesedaran awam dan pameran berkaitan tatacara dan kepentingan amalan pengasingan sisa di punca melibatkan agensi-agensi kerajaan dan swasta, pihak berkuasa tempatan (PBT), pusat pendidikan dan pengajian tinggi, pusat komuniti dan tempat- tempat tumpuan awam.
“Semoga usaha ini dapat menyampaikan maklumat yang tepat berkenaan tatacara pengurusan barang kitar semula dengan betul dan memastikan masyarakat menerima manfaat daripadanya,” katanya.
Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai KITARecycle boleh melayari laman web www.kitarecycle.com ataupun hantar mesej WhatsApp kepada 012 618 0082.